Sesungguhnya ia dijadikan untuk mengenal penciptanya, Yang Maha Esa. Manusia dijadikan untuk menyembah Tuhan yang satu, Allah s.w.t. dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Setiap dari kita akan diuji dan ditapis dengan pelbagai dugaan dan penyakit ujian sepanjang jalan meniti denai kehidupan ini. Dengan tapisan dan ujian itu, kita akan bertambah matang dan positif serta boleh berfikir dengan rasional. Itulah persediaan untuk menghadapi hidup-hidup seterusnya.
TUJUAN HIDUP
Orang yang mempunyai fikiran yang matang akan berkata : “Kita makan untuk hidup.”
Tapi orang yang berfikiran cetek dan tak matang pula mengatakan : “ Kita hidup untuk makan.” Orang yang bersifat materialistik pula berkata : “Kita hidup untuk mencari harta yang ada di pelosok dunia ni. Barulah terasa nikmat!”
Bukankah setiap hari, 5 hari sekali dalam solat fardu kita, kita berjanji dengan Allah? Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Itulah janji kita dalam solat. Adakah itu bukan matlamat? Adakah itu hanya bicara mulut sahaja tanpa mengerti dan menghadam maksudnya yang mendalam? Allah. Itulah tujuan dan matlmat keseluruhan hidup kita.
Orang yang beriman akan menjawab : “ Manusia hidup hanya untuk Allah dan untuk hidupnya yang kekal abadi (di akhirat nanti).”
“maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan apa yang demikian) Maha Tinggilah Allah yang menguasai alam, lagi yang tetap benar.” (Surah al-mukminun : 115-116)
“katakanlah, matabenda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja.” (Surah al-Nisa’ : 77)
MATLAMAT INGIN KE SYURGA
Setiap manusia pasti mengimpikan Syurga. Namun, adakah kita mengamalkan segala yang diperintah Allah? Adakah kita betul-betul patuh dan taat pada-Nya? Adakah Syurga akan menerima kita? Layakkah kita untuk menghuni Syurga yang barakah?
“(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia ; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab Neraka’..” (Surah al-imran : 191)
Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya : “wahai Abu Said! Siapa yang meredai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai nabi ; maka wajiblah baginya Syurga.” (Riwayat Muslim)
Jadikan Allah tujuan utama kita..
Jadikan Syurga matlamat hidup kita..
Semoga kita bertemu dengan erti hidup yang sebenarnya..

No comments:
Post a Comment